Tragedi lombong arang batu terburuk, ribuan mayat pekerja hangus, mati tertimbus

Tragedi lombong arang batu Benxihu direkodkan antara paling tragik pernah berlaku dalam sejarah dan dicatatkan dalam ‘Guinness World Records’. Jumlah kematian yang tinggi membuat bencana ini tersenarai sebagai kemalangan industri kedua paling buruk selepas insiden Bhopal.

Tarikh 26 April 1942 akan dikenang penduduk China dan Jepun, tarikh berlakunya tragedi menyayat hati ini yang dikenali sebagai tragedi lombong arang batu terburuk di dunia.

Awal abad ke-20, arang dan besi menjadi bahan penting dalam bidang industri. Pada tahun 1905, Jepun dan China telah bekerjasama dalam penubuhan operasi pengendalian arang batu.

Sebuah lombong di Benxi, Liaoning, China berdekatan tasik Benxi menjadi lokasi kegiatan industri tersebut dijalankan. Sementara di pihak Jepun pula, tempat itu dipanggil sebagai lombong arang batu Honkeiko.

Tragedi lombong arang batu terburuk, ribuan mayat pekerja hangus, mati tertimbus
Lombong arang batu di Benxi dalam daerah Liaoning di China.

Tetapi, kerjasama dua buah negara itu tidak bertahan lama selepas Jepun melancarkan serangan ke atas kawasan Liaoning, China. Sejak itu, operasi kendalian lombong dijaga sepenuhnya oleh Jepun.

Jepun mengerah rakyat China untuk dijadikan sebagai tenaga buruh. Ada di antara mereka yang ditangkap semata-mata untuk dipaksa bekerja di lombong tersebut.

Keadaan di lombong itu teruk. Menurut Encyclopedia Britannica, keadaan pekerja lombong di bawah kuasa Jepun ketika itu dianggap sebagai ‘malapetaka’. Bekalan makanan dan pakaian untuk tenaga buruh tidak mencukupi. Pekerjaan yang dilakukan mereka amat berat dan terdedah kepada persekitaran berbahaya.

Pekerja dipaksa bekerja selama 12 jam atau lebih lama. Risiko tenaga kerja mendapat jangkitan penyakit seperti demam kepialu dan taun juga dilaporkan tinggi. Kehidupan buruh dikawal ketat dengan kehadiran pengawal keselamatan dan kawasan lombong yang berpagar.

Pekerja di situ dikerah seperti biasa setiap hari sehinggalah terjadinya malapetaka yang tidak diduga pada 26 April 1942. Bermula dengan letupan arang batu, ia kemudian menghasilkan api di kawasan lombong.

Semasa letupan itu, ribuan pelombong sedang bekerja dan tidak menerima sebarang petunjuk. Bila berlaku letupan, suasana menjadi huru hara. Semua orang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri. Keadaan menjadi kucar-kacir dengan jeritan ketakutan dan meminta tolong daripada orang ramai.

Usaha memadamkan api dilakukan dengan menutup lubang lombong bagi menghalang pengudaraan yang menggalakkan pembakaran. Setiap lubang kecil yang dipanggil pit telah ditutup oleh pihak yang mengawal lombong. Tindakan tersebut dilakukan tanpa memindahkan sepenuhnya pekerja yang sedang bekerja di kawasan terbabit. Akibatnya, keadaan lebih buruk berlaku mengakibatkan ramai pelombong mati kerana sesak nafas.

Tragedi lombong arang batu terburuk, ribuan mayat pekerja hangus, mati tertimbus
Keadaan di lombong arang batu Benxi selepas tragedi.

Pihak berkuasa mengambil masa 10 hari untuk menggali timbusan tanah untuk mengumpulkan mayat. Sepanjang tempoh pembersihan, beratus-ratus mayat ditemui dalam keadaan hangus. Pengecaman ke atas mayat juga sukar dilakukan kerana tubuh mayat yang majoriti terbakar.

Tragedi ini telah meragut 1,549 nyawa pelombong. Sebanyak 1,518 adalah warga China dan 31 warga Jepun. Kesemua mangsa telah dikebumikan dalam sebuah kubur besar.

Selepas tragedi itu, lombong arang batu Benxihu kembali beroperasi sehingga perang dunia kedua meletus pada tahun 1945. Selepas pengunduran Jepun, operasi pengendalian arang batu itu dikawal seketika oleh para pelombong.

Pada masa yang sama, Kesatuan Soviet bertindak menjalankan siasatan ke atas tragedi berkenaan. Maklumat yang diperoleh menunjukkan hanya sebilangan kecil mangsa mati disebabkan oleh letupan gas dan debu arang batu. Sementara sebahagian besarnya terkorban akibat keracunan gas karbon monoksida semasa penutupan ke atas pit dilakukan.

Ia dikenang sebagai tragedi arang batu terburuk dalam sejarah industri.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*