Piala Sumbangsih : JDT kecewa Selangor FC tarik diri

Selangor FC mengumumkan untuk “tidak hadir” ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024/25 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok susulan kebimbangan berhubung keselamatan.

Dalam satu kenyataan media semalam, kelab itu berkata keputusan berkenaan dibuat setelah perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan insiden jenayah serta ancaman terhadap beberapa pemain dan pegawai pasukan.

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan,” katanya.

Selangor FC sebelum ini memohon Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menangguhkan perlawanan itu.

Dalam kenyataan berasingan, JDT menyatakan rasa kecewa dengan keputusan Selangor FC.

JDT berkata, ini kerana jaminan diberikan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan dan pihak polis akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota.

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis DiRaja Malaysia.

“Kami pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi kami masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards.

Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Faisal Halim yang juga pemain sayap Selangor FC disimbah asid di pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor dan insiden berlaku selang beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang juga emain sayap pasukan Terengganu FC cedera disamun di Kuala Terengganu.

Selasa lalu, pemain tengah JDT Safiq Rahim pula dipecah individu tidak dikenali dengan menggunakan tukul besi dalam kejadian pada 10.05 malam di Jalan Sri Gelam, di Johor Bahru.

Polis menolak dakwaan terdapat komplot antara ahli politik, polis dan samseng di sebalik serangan terhadap tiga pemain-pemain terbabit.

Ketiga-tiga kes berkenaan sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*