Mengaku Imam al-Mahdi, Pahang pantau ajaran sesat ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ – Syed Ibrahim

Syed Ibrahim (baju biru) berkata, hasil pemantauan itu akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah bagi tindakan selanjutnya.

KERAJAAN Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memantau gerakan ajaran The Ahmadi Religion Peace and Light atau ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ yang tular di media sosial baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, hasil pemantauan itu akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, fahaman ajaran itu dipercayai diketuai seorang individu mengaku dirinya sebagai Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq, manakala pendeta mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Amaluddin.

“Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa muncul masa kini.

“Mereka mempercayai penjelmaan semula dan mempercayai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.

Syed Ibrahim berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat itu.

“Turut menjalin kerjasama strategik bersama Jakim, Jabatan Agama Negeri-Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang ajaran itu daripada terus berleluasa,” tambahnya.

Pada 2023, seramai lapan individu yang didapati pengikut ajaran tersebut terlibat dalam perhimpunan terbuka yang berunsurkan elemen lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di Kuala Lumpur.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*