Bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) didakwa terima rasuah

Seorang bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, pada Ahad atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM10,000 dari sebuah syarikat kontraktor pada tahun 2015.

Tertuduh, Wan Mohamad Zamri Wan Ismail, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang sebanyak RM10,000 daripada Ng Tze Wei melalui cek United Overseas Bank (Malaysia) Bhd bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik tertuduh di Maybank Jalan Mahmood, di sini, pada 22 Januari 2015.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd dilantik sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal dan elektrik serta kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej Machang, Kelantan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan denda minimum daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Pada prosiding itu, Mariah menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Ahmad ‘Adha ‘Amir bagaimana pun merayu bagi pihak anak guamnya supaya jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan buah pinggang serta sudah tidak bekerja.

“Tertuduh mempunyai lapan anak berusia 19 sehingga 37 tahun dengan dua mereka masih belajar di universiti selain menanggung isteri serta tujuh cucu yang tinggal bersamanya,” katanya.

Zaman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bersyarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan atau pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan.

Tertuduh juga perlu sentiasa mengemas kini nombor telefon bimbit dan email supaya kekal dapat dihubungi pihak berkuasa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September depan.

Akhbar pada 9 Julai 2021 melaporkan SPRM menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang melibatkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.

Turut baca

bekas-pengurus-besar-air-kelantan-sdn-bhd-didakwa-terima-rasuah

1 Trackback / Pingback

  1. "Terkedu bangun tidur motor hilang..." Lelaki berputih mata, RXZ kena rembat lepas 'event' - Sengat Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*