{VIDEO} “Kalau tak tersentuh, memang jiwa kacau…” Ramai panas hati tengok video askar pukul bini, siap acu pisau

“Kalau tak tersentuh, memang jiwa kacau…” Ramai panas hati tengok video askar pukul bini, siap acu pisau.

Tular satu kejadian dipercayai melibatkan seorang anggota tentera yang bertindak memukul isterinya di hadapan sebuah rumah.

Insiden dirakam dalam satu klip berdurasi 32 saat yang tular sejak Jumaat itu difahamkan berlaku di kuartes sebuah kem tentera dekat Sungai Udang, Melaka.

Berdasarkan video tersebut, seorang lelaki yang memakai pakaian seragam Tentera Darat Malaysia (TDM) dilihat pada awalnya menyuruh seorang wanita dipercayai isterinya untuk masuk ke dalam sebuah rumah.

Bagaimanapun, wanita terbabit didapati enggan menuruti arahan berkenaan sambil turut didengar berulang kali menyatakan dirinya sedang mengalami kesakitan.

Ekoran daripada itu, lelaki berkenaan dilihat naik berang sebelum bertindak memukul wanita berkenaan beberapa kali.

Malah, lelaki tersebut juga didakwa turut menggunakan senjata ketika insiden terbabit.

“Panas hati tengok video askar pukul bini depan jiran. Siap acu pisau,” tulis ciapan di Laman X oleh akaun @MALAYSIAVIRALLL yang berkongsikan video tersebut pada Jumaat.

Di dalam video berkenaan, lelaki tersebut juga didengar memberi ancaman kepada wanita tersebut.

Menerusi klip sama, turut kedengaran satu suara lain dipercayai jiran pasangan tersebut yang bertanyakan mengenai situasi berlaku.

Sementara, dalam satu video berasingan terkini yang turut tular mengenai kejadian tersebut, dua individu dipercayai jiran dilihat berada di hadapan rumah dan cuba menenangkan lelaki berkenaan.

Namun, berdasarkan klip berdurasi 33 saat itu, lelaki terbabit kemudiannya dilihat bertindak lebih agresif apabila turut mengambil senjata dipercayai pisau dari dalam rumah dan pergi menuju ke arah isterinya yang masih berada di luar kediaman.

Malah, dia juga didengar sekali lagi memberikan ancaman kepada wanita berkenaan kerana masih tidak menuruti arahannya.

Lebih mengejutkan, perbuatan tersebut dilakukan ketika wanita terbabit dipercayai sedang bersama anak kecil yang turut kedengaran menangis di dalam video itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian tersebut.

Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan lelaki berkenaan yang dilihat mencemarkan imej pasukan keselamatan berkenaan.

Sementara itu, wakil Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan pihaknya akan meneliti mengenai video tular berkenaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*