{VIDEO} “Asal jadi duit, siang hari pun jadi…” Dua individu bersenjata samun lelaki selepas keluar duit dari bank

“Asal jadi duit, siang hari pun jadi…” Dua individu bersenjata samun lelaki selepas keluar duit dari bank

Tular satu kejadian samun bersenjata melibatkan dua individu yang dilaporkan berlaku berdekatan sebuah persimpangan lampu isyarat di Persiaran Pegaga, Klang, pada Jumaat.

Klip insiden itu memaparkan perbuatan mengejutkan dilakukan dua penyamun yang masing-masing menggunakan parang panjang dan kayu besbol untuk memecah cermin kereta dipandu seorang lelaki yang ketika itu sedang berhenti kerana menunggu lampu merah.

Berdasarkan video berkenaan, kedua-dua penyamun yang memakai ‘hoodie’ berwarna gelap itu cuba memecah masuk cermin kereta dari kedua-dua arah kiri dan kanan dipercayai bagi mengambil wang yang dibawa pemandu terbabit.

Menerusi info dikongsikan, difahamkan mangsa baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang dari sebuah bank sebelum disamun dalam kejadian yang berlaku pada waktu siang hari.

Di dalam klip sama, mangsa yang memandu kenderaan jenis Mercedes Benz dilihat cuba memandu melarikan diri dari lokasi sebaik diserang, namun gagal kerana keadaan trafik sesak di persimpangan lampu isyarat tersebut.

Salah seorang penyamun didapati berjaya membawa keluar sebuah beg milik mangsa dari arah cermin kanan bahagian pemandu kereta terbabit.

Difahamkan, mangsa turut mengalami kecederaan luka di bahagian jari dan sedang dirawat di hospital.

Dua penyamun berkenaan dipercayai memandu kereta jenis Toyota Yaris.

Berdasarkan gambar dikongsikan, cermin hadapan kereta mangsa di kiri dan kanan didapati pecah akibat kejadian tersebut.

Jumlah kerugian wang yang dilarikan juga tidak dapat dipastikan.

Dua lelaki bersenjatakan kayu besbol dan parang memecahkan cermin pintu pemandu dan penumpang hadapan sebuah kereta untuk menyamun seorang lelaki yang mengeluarkan wang dari mesin ATM di Klang, Selangor.

Suspek kemudian melarikan sebuah beg komputer riba milik mangsa.

Kejadian berkenaan dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan dan tular di media sosial.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.20 malam Sabtu.

Dalam insiden tersebut, mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun baru mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM sebuah bank di Jalan Meru pada pukul 2 petang Jumaat.

Ketika menghala ke kawasan Bukit Tinggi, Klang, kereta dipandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut sebelum dua lelaki tiba-tiba muncul dan memecahkan cermin pintu kereta menggunakan kayu besbol dan parang.

Suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan beg komputer ribanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah tulang jari tangan kiri dan luka calar di lengan tangan kanan dan sudah menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta berdekatan.

Mangsa dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM6,000 membabitkan kehilangan komputer riba dan kerosakan cermin kedua-dua pintu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkawan dan mendatangkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*