Mayat lelaki tersangkut pada paip air ditemukan dalam keadaan lidah terjelir

POLIS menemukan mayat seorang lelaki tersangkut pada tiang paip air di Sungai Klang berhampiran Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Jalan PJS 5/1, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, Pusat Kawalan Daerah Petaling Jaya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pukul 9.01 pagi.

“Ketika ditemui, mayat mangsa dalam keadaan tersangkut pada tiang paip air dengan lengkap berpakaian tanpa kasut.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati individu berkenaan dipercayai lelaki tempatan yang memakai baju T berwarna biru dan seluar jeans biru selain mempunyai tali pinggang hitam serta jam tangan hitam pada tangan kiri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Wan Azlan, pemeriksaan dilakukan pada tubuh lelaki berkenaan tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.

Susulan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat kecederaan luka pada dahi, kedua-dua tangan serta lebam pada rusuk kiri selain lidahnya terjelir.

“Tiada sebarang senjata ditemui berhampiran lokasi kejadian. Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki terbabit dijangka dijalankan jam 9 pagi ini di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78637100 bagi membantu siasatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*