{VIDEO} Saksi kongsi kisah getir saat-saat tragedi ‘berdarah’ stesen minyak Batu Gajah

PEKERJA di sebuah stesen minyak dekat Jalan Pusing, Batu Gajah, Perak berdepan detik cemas selepas premis tersebut dirompak dua individu pada Sabtu.

Lebih malang buat mangsa apabila tiada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan buat mereka semasa awal kejadian berlaku.

Menurut perkongsian saksi @muhdazmer91, salah seorang pekerja wanita tempatan berusia 52 tahun dikatakan memohon pertolongan daripada orang ramai yang melalui kawasan itu, namun hampa kerana tiada siapa yang berhenti untuk membantunya.

“Masa saya berhenti dekat makcik itu kasihan dia panggil orang yang lalu situ nak minta tolong, (tapi) tiada seorang pun yang berhenti,” dakwanya menerusi ruangan komen di laman TikTok pada Sabtu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Zolkifli Hanafiah berkata, pihak polis giat mengesan dua suspek dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an yang disyaki terlibat dalam kes rompakan itu.

Menurutnya, dua pekerja stesen minyak tersebut iaitu seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh, 26, mengalami kecederaan ringan di bahagian bibir dan kepala.

“Mangsa memaklumkan kedua-dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dan Honda RSX 150. Salah seorang suspek masuk ke dalam stesen minyak berkenaan dengan mengacukan pisau kecil.

“Kedua-dua mangsa tidak mengendahkan arahan suspek hingga menyebabkan berlaku pergelutan. Suspek berjaya melarikan dua telefon bimbit dengan anggaran nilai sekitar RM500,” katanya dalam kenyataan.

Zolkifli memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa membuat rompakan.

Jelasnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan lanjut.

“Pekerja wanita berkenaan menerima empat jahitan di bibir, manakala pekerja lelaki menerima lapan jahitan di kepala.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk membantu siasatan,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*