‘Ratah’ remaja dalam tandas, bomoh dipenjara 35 tahun, 10 sebatan

Seorang bomoh dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah atas empat pertuduhan amang seksual dan rogol remaja perempuan dua tahun lalu.

Zemi Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tukang rumah yang juga jurulatih Muay Thai itu didakwa melakukan amang seksual dan merogol remaja perempuan dalam tandas rumah mangsa di Pagoh, sejak 2022 ketika mangsa ingin mendapat rawatan membuang sihir sehingga mangsa hamil.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu dalam tandas sebuah rumah di Pagoh, dekat sini, pada November 2022.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa merogol mangsa sejak April hingga Julai tahun lalu, dengan kejadian berlaku di tempat sama. Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, keluarga mangsa mengenali tertuduh melalui bapa saudaranya yang dikatakan mampu merawat sihir.

Tertuduh kemudian bertandang ke rumah mangsa dan meminta merawatnya serta arwah bapanya yang turut terkena sihir.

Ketika itu, mangsa diarahkan memasuki bilik air yang terletak di luar rumah dengan tujuan untuk mandi air jampi yang mengandungi bunga, limau purut dan sebagainya.

Bagaimanapun, ketika merawat, tertuduh mengambil kesempatan melakukan amang seksual sebelum merogolnya, dengan perbuatan itu berlarutan sehingga Julai tahun lalu.

Mangsa mengetahui dia dirogol selepas mendengar sesi ceramah jenayah seksual di sekolah pada September tahun lalu, sebelum membuat laporan kejadian pada 27 Oktober.

Pada masa sama, tertuduh disahkan hamil selepas tidak datang bulan sejak Ogos 2023. Malah, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kandungan mangsa berpadanan sampel diambil daripada tertuduh.

Tertuduh sebelum ini berhadapan empat pertuduhan amang seksual seorang remaja berusia 16 tahun namun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua hingga keempat, masing-masing 10 tahun serta tiga sebatan.

Semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 16 Oktober 2023.

Tertuduh didakwa pada November 2023 namun mengaku tidak bersalah.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*