Terima rasuah urus jenazah, Penolong Pegawai Perubatan didenda RM3,000

TERTUDUH (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan

Seorang penolong pegawai perubatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1,600 bagi kerja-kerja pengurusan jenazah sejak tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Moh Roffi Ab. Rahman selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk pengurusan kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,350 di mana ketika prosiding, tertuduh membuat pengakuan salah atas pertuduhan pertama, kedua dan keempat yang dibacakan terlebih dahulu oleh jurubahasa.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh didakwa menerima suapan wang tunai masing-masing RM800, RM300 dan RM500 daripada dua individu berbeza melalui akaun miliknya berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Kesalahan tersebut dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Bandar Pusat Jengka, Maran, antara 8 April 2021 hingga 27 Jun 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala baki sembilan pertuduhan diambil pertimbangan atau ‘take into consideration’ (TIC) selaras dengan peruntukan dibawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah di mana tertuduh turut membuat pengakuan salah atas kesemua baki pertuduhan.

Mahkamah yang berpuas hati dengan kesemua pengakuan salah yang dibuat secara sukarela oleh tertuduh kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,400 bagi pertuduhan pertama, denda RM600 bagi pertuduhan kedua dan denda RM1,000 bagi pertuduhan ketiga.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*