Bunuh warga emas, pasangan kekasih berdepan hukuman mati

Sepasang kekasih hanya mengangguk faham di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang warga emas yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, dan Noorbaizura Mohd. Fuad, 34, tidak membuat sebarang pengakuan di hadapan Majistret Mazana Sinin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Tan Kue Seng, 71, kira-kira pukul 7 pagi sehingga 9 pagi di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 11 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, misteri kehilangan seorang lelaki warga emas terjawab, selepas mayatnya dijumpai dalam longkang di Jalan Gapam menuju ke arah Jasin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat Kue Seng ditemukan oleh warisnya bersama motosikal jenis Demak EX90 yang ditunggang mangsa ketika keluar dari rumah di Taman Ozana Impian, Bukit Katil.

Sementara itu, dalam prosiding berasing di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, tertuduh lelaki turut didakwa dengan dua pertuduhan merompak warga emas berusia 69 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera dan melarikan beg tangan seorang wanita berumur 34 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Taman Kota Laksamana pada 22 Mac 2023 dan di Taman Kesidang pada 8 April 2023.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*