‘Tak masuk akal’ rumah mampu milik Kelantan RM300,000

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik di bawah Dasar Perumahan Negara bagi memastikan harga bersesuaian dapat ditawarkan mengikut negeri serta lokaliti.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata kaedah itu dijalankan berdasarkan kepada pendapatan median rakyat mengikut zon, negeri serta daerah yang diperoleh menerusi Tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2022.

Beliau berkata, pemetaan harga rumah mampu milik itu untuk dijadikan sebagai panduan saintifik kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi penetapan harga jualan rumah di setiap lokaliti.

“Dulu di bawah Dasar Perumahan Negara definisi rumah mampu milik adalah tidak lebih daripada RM300,000 tetapi harga (rumah mampu milik) di Kelantan pun RM300,000, harga di Kuala Lumpur pun RM300,000. Adakah masuk akal?

“Bagaimana kita nak samakan harga (rumah mampu milik) di Kelantan sama di Kuala Lumpur. Jadi, pada tahun ini, KPKT sedang melaksanakan pemetaan rumah mampu milik,” katanya ketika menggulung usul Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Nga turut memaklumkan bahawa pemetaan harga rumah mampu milik itu dijangka dapat disiapkan tahun ini.

Sementara itu, sempena Ramadan yang bermula esok, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia mengelakkan pembaziran makanan susulan 35% daripada keseluruhan sisa dilupuskan pada Ramadan tahun lalu melibatkan sisa makanan.

“Berdasarkan statistik Ramadan tahun lepas, sebanyak 86,177.28 tan metrik sisa makanan dilupuskan. Bayangkan satu bulan sahaja lebih 86,000 tan metrik sisa makanan dilupuskan, berbanding sisa pepejal yang dilupuskan iaitu sebanyak 243 tan metrik.

“Bagaimanapun, trend ini menunjukkan penurunan sisa makanan dilupuskan iaitu sebanyak 3.7% berbanding 2022 iaitu 5.2% melalui hasil kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menyentuh usaha KPKT bagi menjamin kebajikan peniaga kecil, Nga berkata kementerian itu menjangkakan MyKIOSK 2.0 dapat dilancarkan selepas perayaan Aidilfitri tahun ini, sekali gus dapat memberi manfaat kepada 20,000 peniaga kecil.

Inisiatif MyKiosk diperkenalkan kementerian itu pada tahun lalu bertujuan memulih dan meningkatkan tahap ekonomi penjaja dan peniaga kecil melalui penyediaan ruang niaga seragam di lokasi dibenarkan, selamat, dan merupakan tempat tumpuan awam.

Dalam hal lain, Nga berkata KPKT sedang merancang untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) antaranya berkaitan penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang turut mencakupi seksyen berkaitan kacau ganggu serta seksyen melibatkan kuasa pegawai PBT.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*