Misteri malam Ramadan: Wanita tua berjubah hitam di masjid akhirnya terjawab

PADA RAMADAN beberapa tahun lalu, saya membawa anak bongsu saya ke masjid berdekatan untuk solat tarawih. Malangnya keluar dari masjid, kami hilang selipar.

Selipar saya hilang kedua-dua belah, anak saya hanya hilang sebelah saja. Lama dia mencari, tidak juga berjumpa sebelah lagi seliparnya yang berwarna oren itu. Sudahnya saya berkaki ayam, anak saya pula pakai selipar sebelah saja.

Jarak antara masjid dengan rumah saya hanya setengah kilometer. Berkereta hanya sekejap saja. Tetapi tidak jauh sebelum sampai ke rumah, tiba-tiba anak saya mengambil sesuatu dari bawah kerusinya dan berkata, “Abah… tengok ni!” Sambil itu dia mengangkat sebelah lagi selipar yang berwarna oren.

“Jumpa kat bawah kerusi!” katanya.

Misteri malam Ramadan: Wanita tua berjubah hitam di masjid akhirnya terjawab

Ah, pelik. Macam mana selipar yang hilang tiba-tiba boleh ada di dalam kereta? Tidak mungkin ia boleh masuk sendiri. Mustahil ada orang memasukkannya sebab sewaktu di masjid tadi kereta saya berkunci. Hanya saya yang boleh membukanya. Ini memang betul-betul misteri.

Saya ceritakan kejadian ini pada seorang kawan. Namanya Suliza, tinggal di Nilai, Negeri Sembilan. Tak sangka, rupa-rupanya ada kejadian hampir serupa berlaku kepada sahabat kawan saya itu. Kata Suliza, pada awal Ramadan baru-baru ini seorang sahabatnya bernama Mahani turut hilang selipar.

Sewaktu hendak pulang selepas solat tarawih, seliparnya yang berwarna hitam ghaib entah ke mana. Kelam-kabut Mahani mencarinya, kerana dia perlu segera ke Kuala Lumpur pada malam itu juga.

Mahani perlu bermalam di hotel yang telah ditempah oleh syarikatnya sebab esok dia ada mesyuarat dengan para pegawai dari cawangan-cawangan di negeri-negeri lain. Malam itu pun mereka merancang untuk berjumpa dan berbincang beberapa hal penting secara informal.

Ketika Mahani sibuk mencari, tiba-tiba datang seorang wanita tua, berusia pertengahan 60-an, mengunjukkannya sepasang selipar. Dia membelek selipar berkenaan. Warnanya hitam, sama dengan warna seliparnya yang hilang. Jenama sama, coraknya pun sama. Cuma agak buruk sedikit.

Aneh, macam mana perempuan tua ini tahu dia hilang selipar? Mahani mahu bertanya lebih lanjut, tetapi apabila ditoleh, wanita tua yang berwajah manis dan bertudung serta jubah hitam itu sudah tiada.

Mahani segera pulang ke rumah, kemudian bersiap dan bergegas pula ke Kuala Lumpur. Dia tidak boleh bertangguh sebab pukul 9.00 pagi esoknya mesyuarat akan bermula.

Dua malam di Kuala Lumpur, petang Ahad Mahani pulang ke rumahnya di Nilai. Tetapi tingkah lakunya kelihatan pelik. Dia tidak nampak juadah berbuka puasa yang telah disiapkan oleh suaminya.

“Mana lauk, mana kuih, mana air?” dia bertanya. Sedangkan semua itu sudah terhidang di hadapan matanya.

Mahani juga merampas cawan suaminya, kemudian meminum air dari jag.

Wanita itu bagaikan hilang ingatan. Penglihatannya seperti ditutup sesuatu. Dia marah-marah dan bercakap yang bukan-bukan.

Selain membawa Mahani ke hospital, suami wanita itu turut meminta bantuan ustaz serta perawat tradisional. Semua mereka memberikan jawapan yang serupa – ia ada kaitan dengan wanita tua di masjid yang memulangkan seliparnya. Wanita itu bukan manusia biasa seperti kita…

Syukurlah, sekarang kesihatan Mahani semakin baik.

Tetapi cerita ini belum tamat…

Sekarang berbalik kepada misteri selipar anak saya tadi. Misteri itu akhirnya terjawab beberapa hari kemudian. Rupa-rupanya dalam kereta isteri saya ada dua pasang selipar. Hitam dan oren. Tapi kami tidak tahu.

Sewaktu pergi ke masjid, anak saya tidak sedar yang dia memakai selipar sebelah oren dan sebelah hitam. Itulah sebabnya dia `hilang’ selipar ketika ketika hendak balik dari masjid, dan jumpa pasangan selipar berkenaan di bawah kerusi penumpang kereta kami. Hmmm…

Pembaca sekalian, cerita ini mengingatkan kita bahawa ada waktunya perkara yang kita sangka misteri, sebenarnya bukan misteri. Hanya kita yang salah sangka.

Bagaimana dengan kisah yang kedua? Kata doktor yang merawat Mahani, apa yang berlaku itu adalah simtom-simtom angin ahmar.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*