Selamat jalan! Berang Zulkafperi alih sokongan, PAS tekad rampas kerusi Tanjung Karang

Selamat jalan! Berang Zulkafperi alih sokongan, PAS tekad rampas kerusi Tanjung Karang.

Selepas memberikan ketaatan kepada arahan pimpinan untuk menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Karang kepada Zulkafperi Hanapi pada PRU lalu, PAS Selangor kini nekad untuk merampas kerusi itu serta dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) di bawahnya.

Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Mohd Zamri Mohd Zainuldin, juga berkata keputusan Zulkafperi memberi sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memang kejutan yang amat mengecewakan.

Hal itu kerana, katanya, PAS Selangor khususnya Tanjung Karang merupakan rakan kerjasama politik kepada ahli parlimen terbabit – yang merupakan ahli Bersatu.

“Kami taat kepada keputusan parti yang menentukan beliau (Zulkafperi) untuk dinamakan bertanding di Parlimen Tanjung Karang tempoh hari.

“Bagaimanapun apabila pendirian ini dibuat, kami tidak akan lagi terikat untuk terus bersamanya.

“Bagi kami kemenangan di parlimen dan kedua DUN di bawahnya akan kami cuba kekalkan,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Zulkafperi menjadi ahli parlimen pembangkang terbaru yang mengisytiharkan sokongannya kepada Anwar.

Menurutnya pengisytiharan sokongan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjung Karang,” katanya.

Langkah itu dianggap agak mengejutkan kerana beberapa hari sebelumnya dia masih terus memberi kritikan kepada kerajaan dan Anwar.

Ucap  

Dalam PRU ke-15 lalu Zulkafperi memenangi kerusi parlimen Tanjung Karang dengan mengalahkan empat calon lain. Dia memperoleh 18,054 undi dan dipisahkan dengan 2,180 undi dengan pencabar terdekat, Habibah Mohd Yusof dari BN.

Dua DUN di bawah parlimen itu – Sungai Burong dan Permatang – turut dimenangi PN semasa Selangor mengadakan pilihan raya negeri pada 2023.

Tanjung Karang merupakan kerusi yang sinonim dengan bekas pemimpin kanan Umno, Noh Omar. Bagaimanapun Umno tidak menamakan Noh untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRU 2022.

Ia menyaksikan PN menurunkan anak perempuan Noh, Nurul Syazwani, sebagai calon mereka di Permatang. Dia menang dengan kelebihan 1,728 undi menewaskan calon PH, Yahya Sahri.

Mengulas lanjut Mohd Zamri berkata, walaupun Zulkafperi sudah mengalih sokongannya kepada kerajaan PAS Selangor akan tetap meneruskan “akidah perjuangan” mereka.

“Pimpinan datang dan pergi, namun akidah perjuangan mesti diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zamri yang juga Adun Sungai Burong berkata, PAS akan meneruskan khidmat seperti biasa dan enggan memperbesarkan masalah tersebut demi membawa aspirasi masyarakat kawasan di itu.

“Selamat jalan diucapkan. Kami tetap terus istiqamah berkhidmat kepada semua yang memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*