Ramai tidak setuju ibu bapa bawa anak kecil tonton filem ‘Sheriff’, ini sebabnya…

Orang ramai tidak bersetuju terhadap segelintir ibu bapa yang membawa anak masing-masing menonton filem Sheriff di panggung wayang kerana dikatakan mempunyai adegan tidak sesuai.

Tinjauan media sosial mendapati, filem Sheriff arahan Syafiq Yusof itu adalah kategori 16 iaitu bagi penonton berumur 16 tahun ke atas, namun segelintir ibu bapa didakwa masih berdegil membawa anak kecil menonton filem tersebut.

Seorang bapa, Mohd. Fhais Salim menerusi hantaran Facebook mendakwa, dia bersama isteri menonton filem tersebut dan mendapati ada ibu bapa lain turut membawa anak kecil mereka.

“Ingin saya tegaskan, cerita ini langsung tak sesuai untuk kanak-kanak di bawah usia 10 tahun. Jangan bawa anak kecil tonton cerita ini.

“Dua hari lepas saya pergi menonton dengan isteri, terkejut masa tu sebab ada yang bawa anak-anak kecil menonton sekali. Mula saja cerita dah ada babak tikam dan memancut-mancut darah. Ini elemen ‘disturbing’.

“Lepas tu banyak pula adegan hisap rokok, cerut, paip, syabu, penagih, carut-mencarut dan bunuh-membunuh. Tolonglah, tak sesuai untuk budak kecil cerita ni,” ujarnya yang juga jurulatih keibubapaan bertauliah.

Hantaran itu dipersetujui oleh orang ramai, malah ada yang berkongsi kejadian sama apabila segelintir ibu bapa turut membawa anak di bawah usia menonton filem Sheriff di panggung wayang.

“Ramai yang bangga bawak anak. Kata dia, ‘anak terus nak jadi polis lepas tengok filem ni’. Ada yang kata ‘terbawa’ anak. Boleh dah ‘tidurkan’ ibu bapa macam ni,” kata Lini Mohd.

“Betul, sangat pelik ramai ibu bapa bawa anak-anak kecil tengok cerita ni. Lepas pula masuk (wayang),” komen Nor Azura Om.

“Memang awal-awal dia dah pesan kalau tak silap saya, tak bagus untuk kanak-kanak filem ni. Tugas kita pula ibu bapa untuk pastikan anak-anak tak tengok, tapi kita pula bawa dia orang,” ujar Ahmad Zaini Aqil.

Filem Sheriff menampilkan para pelakon antaranya Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, filem Sheriff kekal berada di carta nombor satu filem terlaris tahun ini selepas meraih kutipan sebanyak RM35.3 juta bagi tempoh 11 hari tayangan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*