“Pengakhiran yang mulia…” Pergi hantar jenazah, pulangnya sebagai jenazah

“Pengakhiran yang mulia…” Pergi hantar jenazah, pulangnya sebagai jenazah.

Kematian dicemburui. Itu pengakhiran mulia seorang lelaki apabila dia dijemput Ilahi ketika membantu menyempurnakan fardu kifayah.

"Pengakhiran yang mulia..." Pergi hantar jenazah, pulangnya sebagai jenazah
Shahrol memangku Mohd Faizal yang tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia.

Sabtu lalu, Mohd Faizal Jaapar, 48, membantu Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih (PSSK) menguruskan jenazah ibu mentua kepada sahabatnya yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum dia pula menemui ajal akibat serangan jantung kira-kira jam 6.30 petang.

Pengasas Bersama PSSK, Shahrol Mohamad berkata, walaupun Allahyarham bukan sukarelawan tetap mereka, namun dia akan turun padang membantu jika mempunyai kelapangan masa.

Turut baca

“Sebelum ini, Allahyarham memang ada turun padang membantu sukarelawan lain, namun Sabtu lalu pertama kali dia bertugas bersama saya kerana dia meminta saya menguruskan jenazah ibu mentua kepada rakannya.

“Dalam perjalanan menghantar jenazah ke Kampung Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian, kami berborak dalam van dan dia mengucapkan terima kasih kerana beri dia peluang belajar menguruskan jenazah.

“Dia juga sempat berpesan kepada saya, jika dia meninggal dunia, dia mahu saya menguruskan jenazahnya dan meminta dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda berdekatan dengan pusara ibunya. Namun saya anggap itu macam gurauan dan tidak sangka rupanya itu permintaan terakhirnya,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ketika bagi laluan kepada waris memberi penghormatan terakhir, mereka bersembang di luar kediaman keluarga mentua sahabatnya itu sebelum Mohd Faizal tiba-tiba rebah.

“Saya sempat mendengar kata-kata terakhirnya mengulangi hajatnya hendak (dikebumikan) dekat dengan pusara ibunya sebelum rebah.

“Kejadian berlaku pantas dan saya cuba menyambutnya tetapi terlepas, malah saya memanggil namanya dan mengajar mengucap.

“Dalam masa sama ada yang menghubungi pihak ambulans untuk memeriksanya dan mengesahkan kematiannya,” katanya.

Shahrol berkata, walaupun turut berduka dengan pemergian Mohd Faizal, namun dia lega dapat menyempurnakan permintaan terakhir lelaki itu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, kira-kira 2 petang semalam.

“Terlalu Ramai orang hadir membantu dan memberikan penghormatan terakhir termasuk sukarelawan PSSK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Selepas pemergiannya barulah kami tahu banyak cerita orang terdekat dengannya bahawa dia memang seorang yang suka membantu dalam diam dan paling kami tidak akan lupa jasanya yang berusaha mendapatkan sebuah kenderaan mewah, Toyota Vellfire untuk digunakan PSSK dalam menjalankan khidmat menguruskan jenazah percuma.

“Saya berharap semoga pemergian Allahyarham ini akan menjadi contoh yang baik untuk kita semua ambil iktibar,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*