Misteri bau busuk di sebuah rumah berkunci terjawab

Keadaan mayat yang sudah reput ditemukan dalam sebuah rumah di Alor Setar, Kedah

MISTERI bau busuk di sebuah rumah yang berkunci di Jalan Meranti, Tambang Badak, Alor Setar, Kedah terungkai dengan penemuan mayat seorang lelaki pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima makluman berhubung seorang lelaki meninggal dunia dalam rumah berkenaan kira-kira pukul 9 pagi pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan, abang lelaki berkenaan memaklumkan terhidu bau busuk di depan rumah adiknya yang berusia 56 tahun ketika pulang dari kerja pada pukul 7 pagi.

“Saksi cuba memanggil dan menghubungi adiknya sebanyak beberapa kali tetapi tiada jawapan.

“Saksi kemudian meminta bantuan jirannya untuk menghubungi talian kecemasan 999,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, sebaik pintu dibuka dengan bantuan pihak bomba, didapati mayat ditemukan dalam keadaan terlentang dan sudah berbau.

Ahmad Shukri berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat sudah mereput dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah atau unsur jenayah.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.33 pagi dan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Beliau berkata, komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki terbaring dalam rumah yang berkunci.

Katanya, anggota bomba kemudiannya bertindak membuka pintu rumah menggunakan peralatan sebelum menemukan mayat di ruang tamu.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*