Pensyarah kanan didakwa salah guna dana projek penyelidikan, palsu invois

Pensyarah kanan didakwa salah guna dana projek penyelidikan, palsu invois.

Seorang pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini, atas lima pertuduhan menyalahgunakan dana projek penyelidikan bernilai RM32,000 dan satu pertuduhan menggunakan invois palsu bernilai RM10,100 lima tahun lalu.

Mohamad Zulkefli Adam, 56, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussain dan Azura Alwi.

Di hadapan Suzana, Zulkefli didakwa atas lima pertuduhan, iaitu sebagai ketua projek Research-Based Foundation For Sustainable Agriculture Entrepreneurship (Smart Rural), menyalahgunakan wang berjumlah RM32,000 milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Maybank Berhad cawangan Jalan Raja Muda di sini, antara 3 Sept dan 26 Okt 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Turut baca

Hakim Suzana membenarkan Zulkefli diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah serta menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di hadapan hakim Azura, Zulkefli dituduh atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu bernilai RM10,100 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, pada 11 Ogos 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Mohd Zain.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*