Mengaku salah buat hantaran ancam Agong di FB, pekebun sawit didenda RM12,000

Seorang pekebun sawit didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah membuat hantaran bersifat mengancam terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan hukuman itu terhadap Samsuri Ramli, 45, dan memerintahkan dia dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, lapor Berita Harian.

Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi mengancam sifatnya dalam bentuk gambar bertulis “PN (Perikatan Nasional) Best Amaran Anak Muda Kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong)” dan “Turunkan Anwar (Perdana Menteri, Anwar Ibrahim) Atau Kami Turunkan Agong” dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilakukan melalui Facebook menggunakan profil “SamBanjar Perak” pada 5.33 petang 13 Ogos 2023, yang kemudian dibaca di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, pada 9 malam hari sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Dia boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

“Saya anak peneroka yang bekerja di Felda dengan pendapatan tidak tetap, ada kerja baru ada gaji,” katanya tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan perlu menanggung ibu, isteri dan empat anak masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata tindakan Samsuri tidak wajar dan tidak melambangkan kesetiaan serta kehormatan kepada raja, jadi hukuman setimpal sebagai pengajaran perlu dikenakan supaya masyarakat tidak ambil ringan penggunaan media sosial.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*