Ada kumpulan terdesak cuba kacau kerajaan – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cubaan beberapa pihak untuk mewujudkan keretakan dalam Kerajaan Perpaduan adalah satu usaha yang sia-sia.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui bahawa pada ketika ini, terdapat kumpulan terdesak yang cuba mencipta kekacauan dalam hubungan antara parti komponen kerajaan.

“Kepada kumpulan orang ini, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan selamat tinggal.

“Ia tidak akan berjaya,” kata Anwar dalam ucapannya pada konvensyen ulang tahun ke-25 PKR di Shah Alam pada Ahad.

Beliau berkata kerajaan perpaduan ketika ini kukuh tanpa sebarang masalah yang timbul antara parti.

Anwar turut menyelar beberapa pengkritik kerajaan yang membuat mendakwa kerajaan tidak melakukan sebarang usaha bagi meringankan derita rakyat.

“Tanya mereka siapa yang menderita? Adakah (yang menderita itu) mereka yang bergelar Datuk dan Tan Sri?” Anwar bertanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata, PKR telah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran kerana idealisme yang dipegang.

Bagaimanapun, dengan mengambil iktibar daripada sejarah, beliau berkata, semua idealisme yang pernah diperjuangkan sentiasa melalui proses penambahbaikan.

“Jadi, kita mesti gilap idealisme ini,” tambah Anwar.

Menurutnya, tarikan terhadap kekayaan, kemewahan dan aset juga menyebabkan banyak pihak menyimpan daripada tujuan asal.

“Kita juga pernah melihat pengkhianatan dalam parti.

“Sebab itu dalam muktamar khas ini, kita mesti bersedia menilai apa yang menjadikan Keadilan sebagai tonggak perjuangan yang mahu dicapai,” kata Anwar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Anwar menafikan dakwaan mengatakan bakal berlakunya sabotaj daripada parti MIC terhadap Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran telah memaklumkan kepada beliau tentang hasrat parti itu untuk membantu calon PH dalam kempen pada bulan depan.

Anwar berkata, demikian ketika ditanya mengenai cakap-cakap yang mendakwa terdapat wujudnya rancangan daripada MIC dan MCA untuk memboikot calon PH pada pilihan raya kecil 11 Mei depan.

“Itu tidak betul. Presiden MIC menelefon saya dan dia memberitahu saya dia akan pergi (ke Kuala Kubu Bharu) pada hari Isnin ini.

“Dari mana awak dengar ini? Dia (Vigneswaran) berkata dia akan berada di Kuala Kubu Bharu. Itulah yang dikatakan oleh Vigneswaran.

“Semua laporan yang mengatakan mereka tidak akan bekerjasama adalah tidak benar,” kata Anwar kepada ketika ditemui pemberita.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya dari DAP Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Hari mengundi dijadual berlangsung pada 11 Mei, manakala hari penamaan calon jatuh pada 27 April dan pengundian awal pada 7 Mei.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*