Demi keselamatan pelajar M’sia, Mindef sedia hantar tentera ke Asia Barat

Kementerian Pertahanan (Mindef) bersedia menghantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Timur Tengah untuk membantu menguruskan keselamatan para pelajar Malaysia susulan konflik Iran-Israel.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata ATM sentiasa bersiap siaga jika bantuannya diperlukan.

Adly berkata Mindef akan berbincang dengan Kementerian Luar dan mendapatkan maklumat berhubung perkembangan semasa situasi di Timur Tengah.

“Kalau ada keperluan permohonan bantuan, Mindef akan berikan namun buat masa ini, Mindef tidak menerima sebarang permohonan.

“Kami akan terus berkomunikasi dan bekerjasama termasuk dengan Kementerian Pendidikan Tinggi memandangkan pelajar yang terlibat adalah di bawah kementerian berkenaan,” katanya pada Program Jiwa Komuniti Madani dan Majlis Sambutan Hari Raya Madani di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Jumaat lepas, Israel melancarkan serangan ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan Tehran pada hujung minggu lepas.

Tel Aviv sebelum ini memberi amaran akan menyerang balas selepas Iran melancarkan 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel pada hujung minggu lepas namun kebanyakannya telah dipintas.

Serangan Tehran itu bagi membalas tindakan Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik awal bulan ini.

Sementara itu, Adly ketika mengulas mengenai kebajikan veteran ATM berkata, terdapat 212,000 ahli yang berpencen dan tidak berpencen di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran dan tidak timbul isu keciciran bantuan kepada mereka.

Dia berkata menerusi Sistem Vibes 2.0 yang mengemas kini data golongan veteran, pihaknya akan terus membantu mereka menerusi persatuan.

Katanya lagi, sejumlah 27,000 daripada 41,000 veteran ATM tidak berpencen di seluruh negara menerima Bantuan Sara Hidup berjumlah RM300 sebulan berdasarkan paras garis kemiskinan pada kadar RM1,196.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*