Malaysia tolak anjur Sukan Komanwel 2026

Kabinet memutuskan untuk menolak tawaran menganjurkan Sukan Komanwel 2026 setelah meneliti semua aspek dan implikasi, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Yeoh berkata Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam telah membincangkan hasil pertemuan beliau dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dengan wakil Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) berhubung tawaran mereka pada 5 Feb lalu.

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini,” katanya dalam kenyataan sambil menjelaskan fokus kerajaan kini kepada pembangunan sukan selain kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Malaysia sebelum ini ditawarkan oleh CGF untuk menjadi tuan rumah temasya itu bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lalu, di samping turut menawarkan suntikan dana RM603 juta kepada Malaysia.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Sebelum ini, timbul gesaan kerajaan menolak tawaran itu antaranya Pesuruhjaya Sukan Suhardi Alias yang tidak mahu Malaysia ‘menyelamatkan’ Sukan Komanwel dengan menganjurkan edisi 2026 dalam masa singkat.

Beliau dilaporkan berkata rancangan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu mengejutkan, berisiko dari segi kewangan, dan tidak berfikir panjang.

Kritikan terhadap cadangan itu turut disuarakan dua jaguh sukan negara Karu Selvaratnam dan Santokh Singh yang mengingatkan kerajaan kepada keadaan ekonomi dan kesusahan didepani rakyat ketika ini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*