{VIDEO} Bekas polis, pelukis pelan JKR antara ditangkap terlibat kegiatan samun bersenjata

POLIS Melaka berjaya menumpaskan kegiatan samun berkumpulan melibatkan tiga premis kedai runcit dan kedai menjual beg di sekitar Melaka pada Isnin dan Selasa lalu.

Difahamkan ketiga-tiga suspek terlibat dalam aktiviti samun di Telok Mas, Krubong dan Taman Tambak Paya Harmoni.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, seorang pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekas polis dan anak pesara polis ditahan selepas disyaki terlibat dalam tiga kes samun menggunakan senjata menyerupai pistol Isnin dan Selasa lalu.

“Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan tiga suspek berusia 25 hingga 30 tahun ditahan di sekitar kawasan Jasin dan Tehel.

“Kumpulan dikenali Geng Bacin itu diketuai pelukis pelan JKR berusia 36 tahun dan bekas polis serta anak pesara polis masing-masing berusia 33 dan 38 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, tangkapan dibuat susulan tiga laporan kes samun berkawan menggunakan senjata menyerupai sepucuk pistol di kedai gajet, kedai beg dan kedai runcit sekitar Krubong, Telok Mas dan Tambak Paya dalam daerah Melaka Tengah pada 6 dan 7 Mei melibatkan kerugian kira-kira RM1,150.

“Semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dadah termasuk saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya.

Menurut Zainol lagi, polis turut merampas barang kes termasuk satu objek menyerupai sepucuk pistol, sebilah parang dan pisau, dua buah kereta, sebuah motosikal dan empat telefon bimbit pelbagai jenama.

“Geng ini menggunakan modus operandi sama dalam kes samun terbabit dengan mengacukan objek bewarna hitam yang menyerupai sepucuk pistol sebelum menyamun wang hasil jualan dari kaunter juruwang.

“Kesemua suspek direman bermula hari ini (Khamis) sehingga 15 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan,” katanya.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*