Badan penuh lebam, pelajar kolej vokasional maut dibelasah rakan asrama, 13 ditahan

Badan penuh lebam, pelajar kolej vokasional maut dibelasah rakan asrama, 13 ditahan.

Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ditemui maut dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah asrama kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner (ACP) Rohan Shah Ahmad berkata siasatan awal mendapati punca kejadian bermula daripada perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama lain.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh badan mangsa.

“Pihak polis mengenal pasti punca kejadian bermula daripada perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama yang lain.

“Mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Rohan, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai asrama kira-kira 6.50 pagi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang turut hadir memberikan rawatan kecemasan.

Kata Rohan lagi, bertindak atas laporan yang dibuat oleh Pengarah kolej berkenaan, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Insiden berlaku di bangunan asrama lelaki kolej terbabit dan pengesahan kejadian dibuat berikutan penemuan satu mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik di asrama kolej itu,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini polis telah menahan 13 orang pelajar lelaki berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.

Dalam pada itu, tujuh lagi saksi bebas telah dikesan untuk membantu siasatan.

“Pihak polis juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan pihak polis sedang menjalankan siastan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*