TikToker mulut celupar meracau selepas tengok semula rakaman

BAGI meraikan kedatangan bulan Ramadan, Na (bukan nama sebenar) mengajak tiga rakannya untuk berkelah dan mandi-manda di kawasan air terjun.

Selepas berbincang, empat sekawan itu memilih sebuah kawasan air terjun di Hulu Langat, Selangor untuk dikunjungi pada hujung minggu terakhir sebelum umat Islam di Malaysia mula berpuasa.

Semuanya berjalan dengan lancar, malah Na dan rakan-rakannya seronok menjamu selera sambil membasahkan tubuh dalam air yang dingin.

Na merupakan seorang TikToker yang memiliki lebih 50,000 pengikut, malah dia juga aktif berkongsi pelbagai ‘content’ tentang kehidupannya.

Dalam kunjungan itu, Na turut membuat rakaman video di kawasan air terjun berkenaan.

“Jangan mandi jauh sangat, nanti kena tarik dengan hantu air,” ujar Na kepada rakannya sambil tergelak.

“Eh bodohlah. Kau jangan celupar kat tempat macam ni. Mamp*s kita nanti,” balas salah seorang rakannya, disambut gelak tawa mereka berempat.

Selepas separuh hari menghabiskan masa bergembira dan bergurau-senda di kawasan berkenaan, Na dan rakan-rakannya bergerak balik ke rumah masing-masing pada pukul 3 petang.

Selesai menghantar rakannya, Na memandu sendirian dan pulang ke kediaman keluarganya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Akibat keletihan, Na tertidur selepas azan Asar dan terjaga kira-kira pukul 8 malam selepas adiknya datang mengetuk pintu bilik.

“Ayah pesan jangan lupa solat Magrhib,” laung adiknya di sebalik pintu.

Selepas puas menggeliat, Na terus bangun mandi, namun dia mengabaikan pesanan untuk menunaikan solat Maghrib.

Na sanggup meninggalkan solat kerana dia sudah tidak sabar-sabar untuk menonton semula rakaman sebelum membuat suntingan untuk ‘content’ TikTok.

Ketika membelek video-video di air terjun, Na terkejut apabila menyedari terdapat kelibat wanita tua yang berwajah buruk berdiri di belakang rakannya.

Seingat Na, hanya mereka berempat yang seronok bermandi-manda di kawasan air terjun itu.

Secara tiba-tiba, Na yang duduk sendirian di dalam bilik terkejut apabila merasakan seperti bahunya ditepuk kuat.

Dalam masa itu juga, Na mula tidak sedarkan diri dan mula meraung seperti orang gila.

Ahli keluarganya yang terkejut dengan jeritan itu terus masuk ke dalam bilik untuk melihat keadaan Na.

Pada malam itu, bapa Na terpaksa memanggil seorang ustaz kerana dia tidak berhenti-henti meracau.

Jeritan Na semakin kuat apabila azan dilaungkan, malah dia juga mencakar lantai seperti sedang dirasuk.

Kira-kira 11.30 malam, ustaz berkenaan berjaya merawat Na dan dia hanya terbaring keletihan di riba ibunya.

Ustaz memaklumkan Na mungkin terkena gangguan kerana tidak menjaga kelakuan dan tutur katanya ketika mandi air terjun.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*