Tak anjur Sukan Komanwel jika terpaksa guna ‘duit rakyat’, kata Hannah

Malaysia tidak akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 yang ditawarkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sekiranya ‘duit rakyat’ terpaksa digunakan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menurut Yeoh, pihaknya berpandangan jika kerajaan ingin menganjurkan temasya itu, perbelanjaannya tidak harus melebihi daripada jumlah geran 100 juta pound (RM602 juta) disediakan CGF.

Sehubungan itu, kerajaan perlu teliti dalam memperincikan setiap aspek bagi mengelakkan keputusan sambil lewa diambil.

“Apa (yang) pasti, Kementerian Belia dan Sukan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Tidak akan sama sekali bazirkan wang pembayar cukai walau sedia anjurkannya,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Hannah menyatakan apakah pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Kabinet yang bermesyuarat esok dijangka membincangkan tawaran penganjuran Sukan Komanwel pada 2026.

CGF menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya itu bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lalu, di samping turut menawarkan suntikan dana RM602 juta kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*