KKM : 2 kes baharu cacar monyet dikesan

Terdapat dua kes baharu jangkitan cacar monyet mpox menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini sebanyak empat.

Kedua-dua kes baharu ini tiada hubungkait dengan kes pertama dan kes kedua yang dilaporkan sebelum ini pada Julai 2023.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes ketiga positif jangkitan mpox disahkan pada 21 Oktober 2023, melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Oktober 2023.

Kes keempat adalah seorang lelaki warga tempatan merupakan kontak rapat kepada kes ketiga dan disahkan positif pada 23 Oktober 2023.

Beliau turut menunjukkan gejala yang sama pada 6 Oktober 2023.

“Kedua-dua kes sedang menjalani isolasi di rumah dan berada dalam kesihatan yang stabil. Kedua-dua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

“Semua kontak bagi kes ketiga dan keempat telah dikenalpasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox. Status kesihatan mereka juga sedang dipantau,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox. Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Gejala mpox adalah demam beserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

Tambahnya, tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya.

Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

Semua pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan. Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

Ujarnya, kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*