Sambutan hari jadi bertukar igauan ngeri, anak ditendang, dilibas dengan parang oleh ayah kandung

Sambutan hari jadi seorang kanak-kanak lelaki menjadi igauan ngeri apabila dia ditumbuk, ditendang dan hampir dilibas dengan parang oleh bapa kandungnya di Kampung Perah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian kira-kira 5 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 12 tahun mengalami kecederaan pada tisu lembut di bahagian belakang badan dan paha.

Beliau berkata, laporan berhubung kejadian diterima daripada ibu saudara kanak-kanak itu jam 5.50 petang hari di Balai Polis Bersia, di sini.

Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati suspek iaitu bapa kandung mangsa berusia 37 tahun masuk ke rumah wanita itu dan terus menumbuk serta menendang mangsa di bahagian belakang badan selain turut melibas parang yang hampir mengenai anak kandungnya itu.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati wanita itu membawa anak saudaranya itu ke rumahnya kira-kira 6 petang sehari sebelum kejadian untuk menyambut hari lahir kanak-kanak terbabit.

“Mangsa bermalam di rumah ibu saudaranya itu dan akan dihantar pulang lewat petang keesokan harinya (hari kejadian).

“Bagaimanapun pada hari kejadian bapa kandung kanak-kanak itu (suspek) datang ke rumah wanita berkenaan lokasi kejadian berlaku.

“Susulan kejadian, mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*