Dakwa ekonomi merudum, Rafizi bidas wakil rakyat PAS

Dakwaan ekonomi merudum oleh seorang wakil rakyat PAS disangkal dan dibidas oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Parlimen kerana bertentangan dengan data.

Rafizi memberitahu Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) bahawa data menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang menaik sementara kadar pengangguran dan inflasi rendah.

Terdahulu, Salamiah ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2024 peringkat dasar oleh Rafizi di Dewan Rakyat berkata kerajaan tidak patut mengurangkan subsidi dalam keadaan ekonomi yang didakwanya merudum.

“Tak betul Temerloh kata ekonomi merudum. Dekat mana kata ekonomi merudum,” kata Rafizi, menjawab dakwaan wakil rakyat PAS itu.

“Pertumbuhan ekonomi naik dari satu suku ke satu suku. Kadar pengangguran rendah dan kadar inflasi terendah. Kecualilah takrif ekonomi merudum itu pandai-pandai dibuat Temerloh.”

Rafizi menambah sesuatu ekonomi hanya boleh dikatakan merudum apabila ia tidak berkembang, gaji jatuh, dan rakyat hilang pekerjaan.

Rafizi juga menyangkal dakwaan nilai mata wang rendah tanda ekonomi negara bermasalah, kerana mata wang negara lain turut terkesan dengan langkah kerajaan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah, selain pergolakan.

“Bila berlaku pergolakan sudah tentu pelabur-pelabur mengambil langkah biasa iaitu memegang aset yang dikira paling stabil, iaitu sama ada emas atau dolar,” katanya.

Sementara itu, Rafizi meminta pembangkang supaya berlaku adil apabila bercakap tentang ekonomi kerana mana-mana pentadbiran selepas ini akan berdepan cabaran sama.

“Ini perkara yang akan ditanggung oleh mana-mana pihak menjadi kerajaan,” tegasnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*