Lagi ahli parlimen BERSATU beri sokongan kepada Anwar

Seorang lagi ahli parlimen PN menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kali ini ia dinyatakan Ahli Parlimen Labuan yang merupakan ahli Bersatu, Suhaili Abdul Rahman.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Suhaili berkata masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya adalah antara faktor yang dipertimbangkan untuk memberikan sokongan kepada Anwar.

Pada masa sama anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata dia tetap taat dan setia kepada parti, selain kekal menjadi ahli parti berkenaan.

“Setelah mempertimbangkan secara terperinci akan rintihan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, masalah bekalan air dan elektrik sejak hampir 15 tahun lamanya, namun tindakan yang diambil umpama melepaskan batuk ditangga sahaja.

“Maka mengambil kira permasalahan di atas, saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 bermula dari tarikh kenyataan media ini dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Pada 12 Okt lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid adalah ahli parlimen PN pertama menyatakan sokongan kepada Anwar.

Katanya keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh yang demikian, saya menyokong YAB Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Menurut Suhaili dia sedar ada risiko yang didepaninya ekoran pengumuman dibuatnya hari ini.

“Meskipun berkemungkinan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi di kawasan saya terbela.

“Saya dengan ini menyokong dasar-dasar dan inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum ke-16 akan datang,” katanya.

Suhaili juga menegaskan sokongannya kepada perdana menteri dibuat tanpa paksaan atau tekanan mana-mana pihak.

Dengan pertambahan sokongan semasa, Anwar yang juga ahli parlimen Tambun kini didukung oleh 149 wakil rakyat dan jumlah itu sudah melebihi dua per tiga daripada keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam PRU ke-15 tahun lalu Suhaili merampas kerusi parlimen Labuan daripada Rozman Isli dari parti Warisan.

Suhaili menghadapi pertandingan enam penjuru dalam persaingan tersebut, termasuk pencabar terdekat, Bashir Alias (BN) dengan perbezaan 708 undi.

Suhaili memperloleh 28.56 peratus daripada keseluruhan undi yang ada, berbanding 26.07 untuk Bashir.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*