“Aku pun pernah kena…” Video ‘arwah’ muncul tepi tingkap masa majlis tahlil tular

“Aku pun pernah kena…” Video ‘arwah’ muncul tepi tingkap masa majlis tahlil tular.

Tular pada Sabtu mengenai satu kejadian mistik dipercayai berlaku ketika sebuah majlis tahlil.

Dalam kejadian yang difahamkan berlaku di Mersing, Johor itu, tetamu pada majlis tersebut gempar selepas berlakunya penampakan si mati yang baru sahaja meninggal dunia di tingkap berdekatan kediaman tersebut.

Video berdurasi 15 saat itu dimuat naik di Twitter oleh MALAYSIAVIRALLL pada Sabtu dan mendapat lebih 450,000 tontonan.

Berdasarkan carian di internet, klip tersebut merupakan rakaman lama yang pernah tular sekitar September tahun lalu.

Kesahihan lokasi dan video terbabit bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata netizen mempersoalkan ketulenan klip tersebut yang disifatkan mempunyai kualiti rendah yang agak boleh dipersoalkan.

Pada masa sama, terdapat warga maya yang berkongsi pengalamannya yang mendakwa pernah berhadapan dengan pengalaman melihat kejadian sedemikian.

“Aku pun pernah kena masa kenduri tahlil mak kawan aku dulu. Datang tahlil tapi aku nampak depan orang ramai ada jenazah arwah.

“Masalahnya aku seorang sahaja yang nampak. Tepuk paha kawan aku dekat sebelah, dia terus cakap nanti cerita. Sebab kawan-kawan aku tahu tau jenis orang yang boleh nampak (benda ghaib),” tulis Dazrin91.

Bagaimanapun, pada masa sama, terdapat netizen yang berpandangan bahawa kelibat yang kelihatan di dalam video tersebut sekiranya benar bukanlah roh arwah, sebaliknya merupakan makhluk lain yang menyerupai si mati.

“Orang mati tak akan balik seperti ni. Benda lain yang datang menyerupai sahaja,” ujar Remy_Rahman.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam soal jawab mengenai perkara tersebut turut pernah menjelaskannya menerusi hantaran di laman web pada Februari 2020.

Dalam penjelasannya, ia memaklumkan bahawa roh orang yang mati tidak akan ditahan atau dikembalikan semula ke dunia.

Ujar penjelasan tersebut, perkara itu selari dengan Firman ALLAH dalam surah al-Zumar ayat 42 yang bermaksud: “ALLAH Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan…”

Disebabkan kerana roh orang mati yang tidak boleh kembali ke dunia, penjelasan tersebut menyatakan bahawa ia secara langsung tidak boleh menganggu dan memudaratkan orang masih hidup.

Turut baca :

Jelasnya, gambaran diberikan terhadap masyarakat mengenai kejadian mistik termasuk seperti yang berlaku dalam filem seram merupakan perkara mengarut dan tahayul semata-mata.

“Ianya pada hakikatnya adalah penyerupaan dan jelmaan oleh jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia. Bahkan syaitan dan jin tidak mampu untuk memberikan mudarat kepada manusia,” tambah penjelasan itu lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*