Baru-baru ini sewaktu melalui Jabatan Forensik bagi pemantauan tempat merokok, mata saya terpandang pada satu bungkusan kecil di atas troli. Kemudian saya bertanya kepada pegawai agama yang bertugas menguruskan jenazah. Saya bertanya adakah yang dikafankan ini bahagian tubuh manusia atau janin?
Menurutnya itu adalah jenazah bayi cukup sifat. Jenazah ini merupakan kes polis yang mana ia ditemui di sebuah rumah kedai di Rawang pada awal Jun. Menurut dari apa yang dimaklumkan mayat ini dipercayai ditinggalkan selepas berlakunya kelahiran. Tidak pasti sama ada bayi ini meninggal disebabkan bunuh atau mati ketika dilahirkan. Saya sendiri tidak bertanya lanjut di Unit Forensik.
Disebabkan mayat bayi ini tidak dapat dikenalpasti siapa waris untuk dipertanggungjawabkan maka pihak polis meminta hospital untuk melakukan pelupusan mayat dengan cara yang sempurna. Dari raut wajahnya kelihatan seakan memiliki wajah kacukan dengan warga asing. Mungkin Pakistan atau di negara-negara Selatan. Hidungnya mancung dan kulit seakan cerah kemerahan.
Comel dan cantik apabila melihat jenazah bayi perempuan ini dipakaikan telekung sebelum dikafankan. Sebak pula saya lihatnya. Siapalah yang tergamak membiarkan bayi yang tidak berdosa ini keseorangan di sebuah rumah kedai.
Jika dia hidup sewaktu dilahirkan dan dibunuh atau ditinggalkan untuk dibiarkan mati, maka di mana sifat kemanusiaan bagi yang melahirkannya atau yang menyebabkan bayi ini ada? Baik si ibu atau si bapa kepada bayi malang ini kenapa perlu bersikap kejam dan berhati haiwan?
Bagi saya yang menatap wajah kecil comel dan cantik yang berhidung mancung ini mengundang rasa sebak dan seakan mahu menangis. Sedih jika tahu kenapa pengakhiran yang sepatutnya menjadi permulaan hidup di dunia ini diperlakukan oleh manusia yang sepatutnya bersifat keinsanan dan bukannya bersikap kehaiwanan.
Tenang dan seakan tersenyum saya lihat wajah jenazah bayi perempuan ini. Mungkin dia telah melihat syurga yang merupakan tempat kediamannya dan tempat bermainnya bersama rakan-rakan yang telahpun ke syurga terlebih dahulu. Ya pastinya tempat bayi ini di syurga. Dia hadir di dunia tanpa sempat menikmati kehidupan dari insan yang sepatutnya menjaga dan memeliharanya dengan penuh kasih sayang.
Sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada saya. Lain perasaannya apabila melihat jenazah bayi yang ditemui mati atas sebab jenayah atau yang tidak sepatutnya berlaku apabila melihat secara realiti. Moga anak ini kekal gembira dengan kehidupan di syurga yang telah pun dijamin dan membesar menjadi bidadari syurga. Kita pula bagaimana? Tiada kepastian. Apatah lagi yang menyebabkan kematian si kecil.
Turut baca :
Leave a Reply