{VIDEO} Pasar raya catat kenaikan jualan 30 peratus ‘Jualan Rahmah’

JOHOR BAHRU: Barangan yang dijual menerusi inisiatif Jualan Rahmah mendapat sambutan hebat pengguna sehingga mencacat kenaikan jualan sebanyak 30 peratus sejak dilancarkan, Disember lalu.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam, berkata sambutan hebat itu diterima di 91 rangkaian pasar raya besar itu yang menjual 1,000 barangan menerusi inisiatif Jualan Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, pihaknya akan melancarkan Jualan Rahmah Ramadan dan Aidilfitri bulan depan, berikutan sambutan hebat masyarakat terhadap inisiatif itu sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Sejak KPDN melancarkan Jualan Rahmah membabitkan 1,000 barangan yang dijual pada harga lebih rendah sehingga hampir 70 peratus di rangkaian pasar raya besar kami, sambutan diberikan masyarakat sangat hebat dan mengejutkan.

“Nilai jualan rangkaian pasar raya besar kami naik 30 peratus sejak Jualan Rahmah dilancarkan Disember lalu, berbanding jualan barang biasa.

“Antara barangan Jualan Rahmah yang mendapat sambutan hebat masyarakat termasuk minyak masak botol lima kilogram (kg) yang dijual RM27.90, alat tulis dan kelengkapan sekolah (30 peratus), sabun pencuci pakaian (27 peratus diskaun), lampin pakai buang bayi (21 peratus) serta susu bayi (14 peratus).

“Berikutan sambutan hebat masyarakat terhadap Jualan Rahmah, Econsave akan meneruskan jualan 1,000 barangan terpilih pada harga lebih murah khusus untuk Ramadan dan Aidilfitri pula selepas ini,” katanya ketika ditemui.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dilaporkan berkata

Jualan Rahmah akan terus diperluaskan ke lebih banyak pasar raya di seluruh negara.

Beliau dilaporkan berkata, setakat ini, pasar raya Econsave menjadi perintis kepada inisiatif yang diperkenalkan sejak bulan lalu dan disasarkan kepada semua lapisan masyarakat.

“Econsave melalui 91 rangkaiannya di seluruh negara menurunkan harga 1,000 barangan, sekitar tiga peratus hingga 70 peratus. Minggu depan, saya akan lancarkan Jualan Rahmah di pasar raya besar lain pula,” katanya.

Pasar raya Econsave menjadi perintis kepada inisiatif yang diperkenalkan sejak bulan lalu dan disasarkan kepada semua lapisan masyarakat.

Bulan lalu, KPDN melancarkan inisiatif Payung Rahmah bertujuan membantu golongan terkesan dengan lonjakan kos sara hidup merangkumi Pakej Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah.

Pelaksanaan empat fokus inisiatif Rahmah itu menyasarkan mahasiswa, kumpulan B40 dan miskin tegar.

Ditanya sama ada Jualan Rahmah menjejaskan keuntungan diperoleh Econsave, Mas Imran berkata, keuntungan jangka panjang terutama sokongan berterusan pengguna adalah lebih penting bagi memastikan jenama pasar raya mereka terus disokong.

Beliau mengakui, margin keuntungan jualan menurun sedikit, namun jika sokongan pengguna terus meningkat, pasar raya itu mampu menyerap penurunan harga dengan lebih efektif.

“Majoriti pelanggan utama kami adalah golongan B40 apatah lagi kebanyakan cawangan pasar raya terletak di pinggir bandar dan kawasan penempatan padat.

“Selain menyahut seruan kerajaan menerusi Jualan Rahmah, ini boleh dianggap sebagai tanggung jawab sosial Econsave bagi memastikan golongan B40 dapat terus berbelanja dengan harga murah sekali gus meredakan bebanan mereka,” katanya.

Sementara itu, peniaga kecil, Wan Mohd Alif Wan Mohd Yusof, 32, berkata beliau kini mempunyai lebihan wang

berikutan barangan keperluan utama turun harga menerusi Jualan Rahmah.

“Bila ada inisiatif seperti Jualan Rahmah ini, golongan B40 dapat membuat penjimatan antara 20 hingga 30 peratus perbelanjaan mereka.

“Bagi kami ia sangat bermakna kerana lebihan wang dapat disimpan dan digunakan untuk keperluan lain. Diharap inisiatif ini diteruskan dan diperluaskan bagi membantu golongan B40 meredakan bebanan kami,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*