Sedekah PRU : Jawapan Hadi sekadar lepaskan diri dari serangan orang ramai

EKSKLUSIF AMANAH menyelar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya yang mendakwa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya adalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang berkata, Ahli Parlimen Marang berkenaan sebenarnya tahu ahlinya banyak mengagihkan wang supaya undi diberi kepada Pas.

Namun, tegas bekas Pesuruhjaya Pas Perak itu, Abdul Hadi sengaja memberi alasan untuk melepaskan diri daripada serangan orang ramai.

“Isu terbaru ini dikaitkan pula dengan pemberian pilihan raya. Semua itu adalah jawapan untuk melepaskan diri sahaja kerana dia tahu orang Pas banyak bagi duit supaya undi mereka.

“PRU15 lepas saya lihat sepanduk mereka, iklan-iklan, kain rentang dan billboard sangat banyak. Bersusun di tepi jalan. Memang PN (Perikatan Nasional) mendahului parti-parti lain.

“Punyalah banyak duit mereka. Mana dapat banyak duit macam ni? Membazir punyalah banyak.

“Dari zahir kita boleh nampak mereka ni mempunyai kuasa dan duit yang sangat hebat. Sebab itu dia boleh bagi duit pada pengundi,” katanya ketika dalam temubual khas Harapan Daily baru-baru ini.\

Sementara itu, Ahmad Awang yang juga Penasihat Kepada Kesatuan Ulamak Muslimin Sedunia Cabang Malaysia menjelaskan, jika pemberian yang diberi bersekali dengan syarat, ia bukan lagi sedekah.

Beliau turut mengulas isu Pas Kelantan yang didakwa memberi arahan kepada pengundi yang pulang pada PRU15 untuk bersumpah mengundi parti itu sebelum diberikan bayaran.

Dalam konteks itu katanya, ia merupakan satu tawaran rasuah kerana selain melibatkan perjanjian untuk mendapatkan timbal balik, ia juga dilakukan ketika tempoh pilihan raya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menegaskan bahawa Seksyen 10 (a) telah mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

“Bila kata sedekah, memanglah amalan baik dituntut agama. Sedekah terutamanya kepada orang miskin.

“Namun, dalam konteks masa pilihan raya, kita suruh pula orang bersumpah kena undi Pas, itu bukan sedekah.

“Rasuah ini bermakna memberi sesuatu dengan maksud untuk dapat sesuatu yang lain kerana ada kepentingan kuasa,” kata Ahmad Awang lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*