{VIDEO} Merusuh guna senjata besi, botol arak, 2 geng diburu

Merusuh guna senjata besi, botol arak, 2 geng diburu.

Baru-baru ini, tular di media sosial akan video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Jalan Radin Bagus Sri Petaling, Isnin lalu.

Dalam video berdurasi 15 saat itu juga memaparkan sekumpulan lelaki itu turut merosakkan sebuah kereta mewah berjenama BMW.

Susulan itu, pihak polis dikatakan sedang mengesan 20 individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi, seorang lelaki yang juga pengadu bersama rakannya sedang makan di sebuah gerai sebelum mendapati dua kumpulan lelaki sedang merusuh.

“Kesemua suspek itu telah bergaduh di antara satu sama lain dengan menggunakan senjata besi dan botol arak,” katanya.

Katanya, pengadu mendapati suspek tersebut telah merosakkan beberapa buah kereta termasuk keretanya yang diparkir di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kereta pengadu mengalami kerosakan pecah cermin belakang dan cermin penumpang belakang sebelah kanan,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi talian hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*