UMNO akan berkubur awal jika bersama PN berbanding PH

Riwayat UMNO sebagai sebuah parti politik terbesar dalam negara akan berkubur dan ditalkin awal sekiranya parti itu membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal itu kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan menggunakan kelebihan jumlah kerusi Parlimen mereka untuk menekan UMNO.

Menurut beliau, sekiranya UMNO bekerjasama dengan PN, parti itu hanya akan menjadi mangsa buli.

“Selepas PRU15, ramai bercerita tentang survival UMNO untuk tempoh lima tahun akan datang. Ada yang kata UMNO akan berkubur, ada yang cakap UMNO sukar untuk bangkit semula dan ada yang bersikap positif bahawa parti itu akan pulih kembali.

“Bagi saya, kita kena lihat dan kaji apakah laluan yang perlu dipilih pucuk pimpinan dan akar umbi bagi memastikan UMNO terus relevan di masa depan. Strategi dan percaturan politik yang bijak mesti diambil kira supaya UMNO tak bertemu jalan mati dalam perjalanan panjang nanti.

“Sebab itulah, tindakan pucuk pimpinan tidak bekerjasama dengan PN pada PRU15 lalu adalah satu keputusan bijak. Biarpun menyaksikan PN menang 73 kerusi dan UMNO hanya dapat 30 kerusi tapi justifikasi untuk masa depan UMNO lebih penting. Jika UMNO bergabung dengan Bersatu dan PAS dalam PN ketika itu, belum tentu lagi UMNO akan ada 30 kerusi kerana pastinya pemilikan kerusi untuk UMNO dan BN (Barisan Nasional) bertanding semakin kurang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pulai itu, pengalaman UMNO ketika berada dalam kerajaan PN terdahulu sudah cukup untuk mengajar UMNO agar tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali.

“Kita boleh lihat bagaimana Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menekan kepimpinan Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Pas pula tetap dengan lidah bercabang mereka menyokong pihak yang boleh beri keuntungan politik saja.

“Oleh itu, dari segi strategi dan seni politik, keputusan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan sangat tepat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kerana PKR dan DAP dilihat boleh mengadakan rundingan dan turut bertolak ansur dalam proses pembentukan kerajaan serta Kabinet.

“DAP berlapang dada untuk tidak menuntut kuota Kabinet yang lebih biarpun mereka ada ramai wakil dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membentuk barisan menteri dan timbalan menteri yang ‘solid’.

“PH tak mengetepikan atau menganaktirikan UMNO dalam pelantikan menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan dengan menyaksikan wakil UMNO mendapat kuota yang sama rata dengan PKR dan DAP.

“Malahan Kabinet yang dibentuk juga tetap mengekalkan tradisi Kabinet majoriti Melayu seperti yang diamalkan oleh BN sejak 60 tahun lalu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut memuji kerjasama politik khususnya antara UMNO, PKR dan DAP kerana ketiga-tiga parti berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri dengan mengambil kira kawasan masing-masing.

“Bila menyentuh mengenai survival masa depan politik, kita boleh lihat bagaimana kerjasama antara UMNO dan PH mampu membentuk satu pakatan yang kukuh. UMNO kuat di kawasan majoriti Melayu, PKR stabil di kerusi campuran manakala DAP pula cukup kukuh dapat sokongan daripada pengundi Cina.

“Jadi masing-masing ada kelebihan dan boleh lengkap melengkapi antara satu sama lain jika mereka buat keputusan untuk terus bekerjasama seperti mana di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman sebelum ini.

“PH boleh bergantung kepada pengaruh UMNO untuk mendapatkan undi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar, PKR pula boleh tawan hati sebahagian pengundi Melayu bandar dan pengundi campuran Cina serta India manakala DAP pula sudah tentunya menjadi magnet kepada pengundi Cina untuk menyokong kerjasama UMNO dan PH itu.

“Lagipun tak akan timbul isu besar lagi soal perebutan kerusi tradisi atau kerusi majoriti Melayu dalam pakatan UMNO dan PH kerana hanya UMNO yang solid dari sudut itu antara parti-parti dalam PH.

“UMNO boleh terus kekal bertanding di kerusi Melayu, manakala bagi kerusi kerusi campuran PKR boleh letakkan calon mereka dan DAP pula boleh diberikan kerusi-kerusi bandar di mana pengundi-pengundi Cina sememangnya menjadi penyokong kuat mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu Nur Jazlan memberitahu, pihaknya melihat strategi berkenaan melalui kerjasama antara UMNO dan PH akan menjadi gabungan lengkap daripada semua segi, sekaligus mampu memecahkan dominasi PN dalam PRU15 lalu.

“Sebab itulah bagi saya, jika UMNO tak mahu ditalkinkan atau dikuburkan lebih awal, sebaiknya jangan bekerjasama dengan PN untuk masa depan dan cuba perkukuhkan pakatan dengan PH ini.

“Biarlah apa orang nak cakap pun buat masa sekarang ini, apa yang penting ahli akar umbi UMNO perlu terus diberikan kefahaman tentang strategi terbaik untuk menjamin survival UMNO pada masa akan datang,” katanya lanjut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*