Tahan air mata ketika keluarkan mayat dua beranak berpelukan

Mengeluarkan mayat ibu dan anak berusia dalam lingkungan tiga tahun di bawah timbunan lumpur dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali cukup meruntun hati seorang pegawai bomba.

Naluri Shahari Shamsuddin, 47, sebagai bapa tersentuh saat melihat jasad dua beranak yang berpelukan itu, lantas teringat anaknya dan bagaimana jika keluarga berdepan peristiwa menyayat hati seperti itu.

“Ketika proses hendak mengeluarkan mayat mereka, saya terpaksa menahan perasaan sedih.

“Sebagai anggota penyelamat, saya perlu mengawal emosi namun sebagai manusia biasa, perasaan hiba itu terlalu sukar untuk dibendung,” katanya.

Menceritakan kembali detik penemuan itu, Shahari berkata beliau tiba di lokasi kejadian pada 10 pagi dan ditugaskan bersama 30 lagi rakan sepasukan untuk menjalankan misi mencari mayat mangsa di zon merah.

Kongsinya, lumpur tebal menyukarkan pergerakan dan pergerakan tanah juga masih berlaku di lokasi itu berikutan terdapat laluan air bawah tanah.

Shahari berkata kerja-kerja menggali terpaksa dilakukan secara berhati-hati untuk mengelak daripada peralatan yang digunakan menjejas tubuh mayat di bawah tanah.

Katanya tidak lama selepas menggali, mayat ke-17 dan 18 itu ditemukan di tapak perkhemahan yang terletak bersebelahan sungai pada jam 4.40 petang Jumaat.

Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.

Operasi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam.

Tahan air mata ketika keluarkan mayat dua beranak berpelukan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*