Dakwa MoU Kerajaan Perpaduan mudaratkan demokrasi, Pemuda PN lapor polis

Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berkenaan “pakatan jahat” antara pemimpin parti-parti pemerintah berkaitan Perjanjian Persefahaman Kerjasama, yang didakwa merosakkan dan memudaratkan demokrasi.

Ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan perjanjian antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan itu memudaratkan kerana ia memerlukan Ahli Parlimen gabungan dan parti terbabit mengundi hanya satu cara yang dikehendaki oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Perjanjian tersebut haram dan tidak sah di sisi undang-undang kerana ia menyekat dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan.

Fadhli mendakwa perjanjian itu, yang ditandatangani menjelang usul undi percaya terhadap Anwar pada Isnin, bercanggah dengan lima perkara dalam Perlembagaan dan tidak sah menurut Akta Kontrak.

Beliau seterusnya mendakwa pemimpin PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan melakukan kesalahan di bawah empat seksyen Kanun Keseksaaan dan melanggar dua seksyen bawah Akta Kontrak.

“Pemuda PN membuat laporan ini untuk mengekang perbuatan jenayah pemimpin-pemimpin PH, BN, GPS, GRS, dan WARISAN dalam menekan asas kebebasan Ahli-ahli Parlimen yang dijamin di bawah Perlembagaan untuk menekan hak dan suara mereka supaya boleh disenyapkan,” katanya.

Beliau membuat laporan polis di IPD Dang Wangi petang tadi.

PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan yang membentuk ‘kerajaan perpaduan’ menandatangani perjanjian itu kelmarin, menjelang usul undi percaya terhadap Anwar pada Isnin di Dewan Rakyat.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkaitan dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.

Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof, semalam menjelaskan matlamat asas perjanjian itu untuk menjamin kestabilan politik.

Beliau menepis dakwaan ia akan membawa kepada pemerintahan berbentuk diktator kerana perjanjian itu menghendaki rundingan dengan semua parti bagi mencapai kata sepakat.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, hari ini menjelaskan semua Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan “bebas mengundi mengikut kepakaran dan pandangan sendiri” kecuali dalam perkara berkaitan keabsahan kerajaan.

Beliau berkata antara undian berkait keabsahan kerajaan termasuk usul undi percaya terhadap perdana menteri dan undian perbekalan.

Dakwa MoU Kerajaan Perpaduan mudaratkan demokrasi, Pemuda PN lapor polis

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*