Tuduhan rasuah projek tebatan banjir, Nik Nazmi saman Chegubard

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad mengemukakan surat tuntutan kepada ahli jawatankuasa penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, yang dikenali sebagai Chegubard.

Ini adalah berhubung dakwaan Badrul Hisham bahawa berlaku rasuah melibatkan jutaan ringgit untuk mendapatkan projek tebatan banjir, yang dinafikan oleh Nik Nazmi.

“Semalam, peguam saya telah menyerahkan surat tuntutan kepada Chegubard, meminta beliau agar menarik balik dengan serta-merta serta memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah itu.

“Beratnya tuduhan palsu ini memerlukan tindakan undang-undang yang tegas untuk menjaga nama baik dan kewibawaan saya, serta kementerian dan kerajaan persekutuan,” kata pemimpin PKR itu dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata kerajaan komited untuk menegakkan kebenaran dan membetulkan tanggapan serong ekoran tuduhan tidak berasas seperti ini.

Turut baca :

“Dengan berlangsungnya prosiding undang-undang, kami mengesahkan dedikasi kami terhadap ketelusan dan pematuhan kepada proses undang-undang.

“Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang siasatan oleh polis untuk bertindak ke atas dakwaan yang dibuat oleh Chegubard,” katanya.

Minggu lalu, Badrul Hisham mendakwa jutaan wang sogokan dibayar untuk mendapatkan projek tebatan banjir.

Ini, katanya, membawa kepada kenaikan kos yang ketara.

Nik Nazmi menafikan dakwaan itu, dan berkata kos sebaliknya menyusut kepada RM11.8 bilion – lebih rendah daripada RM15 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan terdahulu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*