Kerani berdepan 133 tuduhan pecah amanah lebih RM400,000

Seorang kerani di sebuah syarikat penguji emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas 133 pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah keseluruhan RM445,815.

Tertuduh, Teh Ya Ling, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di syarikat swasta berkenaan di Jalan Sungai dekat sini antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.

Tertuduh ketika itu bertugas sebagai kerani akaun syarikat terbabit telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang milik syarikat ke dalam akaun bank atas namanya untuk kegunaan sendiri.

Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam Teoh Kung Yu.

Turut baca :

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan.

Namun Teoh memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu kerana anak guamnya kini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM2,800 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM500 bagi setiap pertuduhan selain tertuduh perlu menyerahkan pasportnya.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Feb depan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*