Tak sempat belanja hasil samun, 3 lelaki dicekup

Polis berjaya menyelesaikan dua kes samun oleh kumpulan penjenayah yang sama melibatkan kedai serbaneka dan hotel bajet di Taman Scientex, Pasir Gudang dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki berusia antara 21 hingga 27 tahun di dua lokasi di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Dalam kejadian pertama pukul 1.25 pagi, ketiga-tiga suspek bertindak melakukan samun di kedai serbaneka di kawasan Taman Scientex, Pasir Gudang.

“Suspek terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan bersenjata tukul telah merampas wang tunai di meja kaunter serta telefon bimbit milik mangsa.

“Aduan telah dibuat oleh mangsa, iaitu remaja perempuan tempatan berusia 18 tahun yang merupakan pekerja di kedai serbaneka itu.

“Suspek seterusnya melakukan samun di sebuah hotel bajet di kawasan yang sama pada pukul 2.45 pagi. Mereka telah merampas beg milik mangsa yang mengandungi dokumen-dokumen peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya telah menerima aduan mengenai kejadian itu daripada pekerja lelaki hotel tersebut yang berusia 21 tahun.

Hasil maklumat yang diperoleh, kesemua suspek berjaya diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam bersama Pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor antara pukul 4 hingga 5.30 petang.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah, manakala dua lagi masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod jenayah dadah.

“Hasil tangkapan kumpulan ini, kedua-dua kes samun tersebut telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Turut dirampas sebatang tukul kepala getah, sebuah beg sandang jenama Converse, tiga topi keledar, dua telefon bimbit dan tiga keping kad ATM.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 4 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*