Tragedi buka puasa : Sangka tiada orang di rumah, jiran hiba 4 beradik maut kebakaran

Jiran tidak menyangka kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar semalam berakhir dengan tragedi empat beradik terkorban kerana beranggapan tiada siapa di rumah.

Jiran terdekat, Limat Sawal, 53, berkata ketiadaan Perodua Kancil yang biasa membawa empat kanak-kanak itu keluar menguatkan lagi anggapan mereka tiada orang di rumah semasa kejadian.

“Biasanya kami melihat empat anak ini bermain di luar rumah dan ada kereta, tetapi semasa kejadian, tiada kereta, jadi kami fikir tiada orang. Kami memang tidak sangka terdapat mangsa di dalam dan hanya menyedari ada mangsa di dalam, apabila ibu mangsa yang baru tiba memaklumkan anaknya masih di dalam,” katanya menurut Bernama.

Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, dilaporkan maut dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor kira-kira 7.49 malam Rabu.

Polis dilaporkan berkata, ketika kejadian, ibu mangsa keluar membeli kelengkapan rumah, manakala bapa mereka bekerja di sebuah restoran.

Limat yang tinggal kira-kira 100m dari rumah mangsa berkata, dia antara orang terawal menyedari kebakaran itu dan memanggil penduduk lain memadamkan kebakaran bersama.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, kami berusaha padam kebakaran dengan menjirus air daripada paip berdekatan.

“Saya rasa sangat sedih dan hiba. Saya tak sanggup melihat keadaan kanak-kanak itu yang seusia lebih kurang cucu saya. Ibu mereka ada bergaul dengan orang dan sering bertanya khabar, anak-anaknya juga selalu bermain di sini, jadi saya sedih.”

Idris Sehan, 76, hanya mengetahui kebakaran itu selepas selesai solat tarawih.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada rumah terbakar dan lebih mengejutkan lagi, rumah itu adalah rumah sepupu saya yang disewakan kepada keluarga itu sejak empat tahun lepas,” katanya sambil memaklumkan ibu bapa mangsa kini tinggal di balai raya.

Dalam kejadian 7.49 malam tadi, empat beradik yang maut sebelum itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi dalam bilik air di bahagian dapur rumah.

Sementara itu, Nabila Sedu, 31, terkilan tidak sempat membeli kelengkapan dan baju raya untuk anaknya.

“Ada (pesanan) daripada anak-anak. Mereka hendak baju raya warna hitam,” kata wanita Orang Asli itu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah sambil ditemani suaminya yang juga warga Myanmar, Thein Ko Htut, 30.

Siasat semua aspek

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya akan menyiasat dari semua aspek, termasuk jika terdapat elemen kecuaian dalam kebakaran itu.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan forensik berhubung punca kebakaran.

“Siasatan awal setakat ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada litar pintas di bahagian dapur, namun siasatan lanjut masih dijalankan.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*