Merusuh, serang kereta guna parang di Butterworth, 28 suspek dicekup

POLIS menahan 28 lelaki warga tempatan kerana dipercayai terlibat kejadian merusuh bersenjatakan parang di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang pada Sabtu.

Semua suspek berusia lingkungan 17 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan polis di beberapa lokasi sekitar daerah Butterworth selepas menerima maklumat berhubung kejadian rusuhan.

Terdahulu tular video pendek di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki merusuh dan merosakkan kenderaan menggunakan parang di hadapan sebuah premis di Butterworth pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka.

“Oleh itu, polis mengesan semua yang terbabit dan menahan 28 lelaki yang kemudian direman untuk tindakan lanjut.

“Polis turut merampas barang kes digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tamnbah Mohd Asri, usaha mengesan baki suspek lain sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*