Tingkat keupayaan skuad bola sepak negara, PMX umum ‘durian runtuh’ RM5 juta untuk FAM

Tingkat keupayaan skuad bola sepak negara, PMX umum ‘durian runtuh’ RM5 juta untuk FAM.

Kerajaan hari ini bersetuju menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada FAM bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan berkenaan disalurkan dengan mengambil kira semangat juang tinggi pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala Asia 2023, terutama dengan kejayaan mengikat Korea Selatan, malam tadi.

Dalam perlawatan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub Doha, Qatar itu Harimau Malaya mengikat gergasi bola sepak Asia terbabit dengan keputusan 3-3.

“Satu pertarungan hebat (malam tadi), Harimau Malaya menunjukkan keupayaan, kesungguhan, semangat mereka tidak lusuh walaupun setelah kalah dalam dua pertarungan (menentang Jordan dan Bahrain), tapi nampak mereka menunjukkan perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat bertarung dengan satu pasukan kuat Korea Selatan.

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka, mara terus dan kerana (Harimau Malaya) menunjukkan semangat sedemikian dan atas pertimbangan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kerajaan bersetuju luluskan RM5 juta kepada FAM supaya dapat mengurus pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya kepada pemberita sebelum menyertai sesi makan tengah hari di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Yeoh yang juga ahli parlimen Segambut.

Sehubungan itu, Anwar juga mengumumkan bahawa dana berkenaan akan disalurkan pada kadar segera untuk kegunaan badan induk yang memayungi bola sepak negara itu.

Sebagai rekod, perlawanan malam tadi merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait.

Dalam perlawanan tersebut penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989.

Walaupun seri dengan Korea Selatan, hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E, masing-masing tumpas 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*