Tiada arah tuju yang jelas, 10 lagi Ahli Parlimen BERSATU dijangka sokong Anwar

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz.

Seramai 10 lagi Ahli Parlimen BERSATU dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa lima Ahli Parlimen dari utara, iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak; tiga dari Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta dua lagi dari Selangor dan Melaka.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat Ahli Parlimen berkenaan kerana amat kecewa dengan parti, tidak dihargai dan terjaga.

“Sehingga hari ini, BERSATU tiada arah tuju yang jelas … jarang mengajak Ahli Parlimennya berbincang bagaimana mahu mengekalkan (kebajikan) kawasan.

“Kewangan menjadi masalah yang besar. Jika parti tidak ambil perhatian, siapa lagi?” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Syed Abu Hussin mendakwa ada tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN bakal menyatakan sokongan kepada Anwar, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti mereka, sama ada daripada PAS atau BERSATU.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen BERSATU sudah menyatakan sokongan kepada Anwar, iaitu Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaru,Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Pada masa sama, Syed Abu Hussin turut mempelawa lima lagi Ahli Parlimen BERSATU yang pernah berada dalam kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk menyokong Anwar kerana dilihat mempunyai pengalaman luas dan mampu mengatur strategi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

“Jika mereka berfikir secara serius, mungkin dengan pengalaman yang ada boleh membantu Perdana Menteri dengan lebih baik. Jadi, yang sering bertekak dalam Parlimen sudah tidak berlaku, sebaliknya menumpukan kepada bahas dan memberi cadangan yang baik serta membina,” katanya.

Syed Abu Hussin mendakwa, Ahli Parlimen BERSATU ketika ini hanya mengharapkan peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

“Ini juga tidak nampak kerana PAS ada pendirian tersendiri dan akan membuat keputusan berlainan setiap kali PRU. Saya lihat pada PRU-16, PAS akan membuat gabungan dengan parti lain,” katanya.

Mengenai dakwaan pemimpin BERSATU bahawa Ahli Parlimen yang ‘lari’ menyokong Anwar mudah tunduk dengan tawaran peruntukan, Syed Husin sebaliknya menyifatkan mereka sebagai berani.

“Susah mahu membuat keputusan ini kerana memang akan dituduh dan dihina tapi mereka berani. Sebagai Ahli Parlimen, kita hanya hadir di Parlimen tapi apabila balik kawasan, tidak boleh nak bantu.

“Masuk Parlimen, bertekak. Orang suruh berunding (untuk dapatkan peruntukan), tidak mahu. Apa nak jadi sebenarnya?” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*