Tikam kekasih gelap 18 kali kerana cemburu

Cemburu dipercayai motif seorang lelaki warga asing menikam kekasih gelapnya sebanyak 18 kali dan mengelar mangsa di sebuah kondominium sekitar Kelana Jaya, di sini, 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berusia 40-an sudah berkahwin dan mempunyai anak di kampung adalah rakan senegara suspek.

Menurutnya, suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit bersama seorang lagi rakan senegara mereka yang tinggal di rumah sewa sama.

“Pada 3 Jun suspek ditahan polis bantuan di stesen Express Rail Link (ERL) Salak Selatan selepas dipercayai cuba membunuh diri dengan cara baring di landasan kereta api tetapi gagal.

“Selepas ditahan suspek mengaku melakukan pembunuhan. Suspek membawa polis ke lokasi kejadian dan menemui mangsa sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek cuba membunuh diri di landasan ERL namun hanya mampu melihat tren terbabit berlalu pergi kerana terbaring di landasan yang salah.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian berjaya menemui sebilah pisau pemotong buah dipercayai digunakan oleh suspek berusia 30-an untuk melakukan pembunuhan.

Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek dan mangsa terbabit masuk menggunakan visa pelancong yang masih sah sejak tiga bulan lalu.

“Suspek yang bekerja di sebuah kedai makan di sini dipercayai mempunyai masalah panas baran.

“Ketika kejadian suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah atau

alkohol. Suspek melarikan diri selepas membunuh mangsa yang bekerja di sebuah salon di pusat beli-belah.

“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4 hingga 6 petang,” katanya.

Menurutnya, polis menahan enam lelaki warga asing, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita asing yang tinggal di rumah sewa berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 4 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*