‘Panglima Pasir Salak’ minta Umno beri ‘keris’, mahu bantu PRN

Ahli politik veteran, Tajuddin Abdul Rahman, meminta Umno memulihkan status keahliannya agar beliau boleh turun membantu Barisan Nasional menghadapi PRN akan datang.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu menggesa Presiden Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahlian enam tahunnya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

“Saya tahu kelemahan PAS, saya tahu kelemahan Bersatu, saya tahu semua kelemahan Perikatan Nasional. Bagi lah saya keris. Kalau tak bagi keris macam mana saya nak bantu Umno pergi berperang?” katanya kepada pemberita di tepian perhimpunan agung Umno 2023 petang semalam.

“Beritahu presiden bagi keahlian saya balik. Lepas dari penggantungan nanti, saya bersilat tolong parti. Saya sedia. Hantar ke mana sahaja.”

Mengulas tentang penggantungannya, Tajuddin mendedahkan beliau telah merayu tiga kali namun sehingga kini belum ada jawaban daripada parti.

“Jangan lah buat saya macam budak-budak, saya pun ada maruah,” katanya, dan menambah rayuan terbaharu dibuat pada Mac.

Beliau akui ada terima tawaran daripada Perikatan Nasional. “Saya ditawar jadi calon. Kalau saya terima jadi calon PN, saya lah Ahli Parlimen Pasir Salak.”

“Umno banyak berjasa kepada saya, saya banyak berjasa kepada Umno. Buat apa saya nak tinggalkan parti? Bodohlah saya tinggalkan Umno.”

Ditanya sama ada beliau sedia berkempen untuk calon DAP, Tajuddin mahu fokus kuatkan Umno kerana parti itu belum cukup kuat untuk membantu parti lain.

“Umno terhegeh lagi buat apa? Umno kuat nanti barulah cakap nak tolong orang,” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin memberitahu beliau teruja mendengar Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh enggan menarik balik kenyataan bahawa DAP perlu mohon maaf atas apa yang dikatakan tohmahan terhadap Umno.

“Kalau konsisten macam ini, ada harapan Umno diwarisi oleh pewaris yang boleh membangkitkan semula Umno. Memang patut DAP minta maaf,” katanya.

Turut baca : SPRM beku 192 akaun bernilai RM39 juta milik bekas menteri kanan, 2 Tan Sri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*