Tetak pegawai APMM dengan parang: Empat nelayan Vietnam ditembak

Empat nelayan Vietnam ditembak selepas menyerang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan parang pagi Rabu.

Pegawai maritim itu cedera parah selepas ditetak di kepala dengan parang ketika serbuan ke atas bot yang disyaki menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia di luar pantai Kuala Terengganu.

Pegawai berkenaan, Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang melalui helikopter untuk rawatan.

Pegawai APMM telah melakukan serbuan ke atas sebuah bot berkenaan sekitar jam 11.30 pagi tadi dan menemui 16 anak kapal warga Vietnam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Khairul Anuar Abd Majid, semasa pemeriksaan, tiba-tiba seorang anak kapal bertindak menyerang Shakir.

“Anggota lain dapat mengawal keadaan sebelum menahan 16 kru bot terbabit terdiri daripada seorang tekong dan 15 awak-awak, daripada terus menyerang dan mencederakan pegawai dan anggota lain,” katanya.

“Semua kru terbabit ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa sebarang pas yang sah,” katanya lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*