Tak menyesal malah ‘bersyukur’ tak ikut Azmin jadi ‘pengkhianat’, kata Amirudin

Tak menyesal malah ‘bersyukur’ tak ikut Azmin jadi ‘pengkhianat’, kata Amirudin.   Naib Presiden PKR Amirudin Shari berkata, beliau tidak menyesal tidak mengikut jejak bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali keluar parti ketika Langkah Sheraton pada 2020.

Amirudin berkata, walaupun pernah dilabel sebagai pengikut Azmin, beliau membuat keputusan untuk setia dengan PKR kerana menghormati mandat rakyat.

“Saya tak menyesal tak ikut (Azmin) jadi pengkhianat. Sebab apa? Sebab demi kemakmuran, kestabilan Selangor,” katanya ketika berucap di pentas ceramah Jelajah Madani DUN Taman Medan.

“Saya dulu dianggap pengikut beliau tetapi saya ambil keputusan setia dengan parti dan hormat mandat rakyat.”

Amirudin, yang juga menteri besar Selangor itu berkata, keputusan kekal bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH) adalah tepat kerana gabungan itu mampu mentadbir dengan baik berbanding parti lain.

Ini terbukti apabila sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5% pada 2022, daripada 24.8% pada tahun sebelumnya.

“Selepas (Azmin) tidak lagi jadi menteri besar Selangor, (KDNK) melonjak naik,” katanya.

Azmin adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti dan PH ketika Langkah Sheraton, peristiwa yang mengakibatkan kerajaan PH pada ketika itu tumbang selepas hanya 22 bulan memerintah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*