Terima suapan RM316,064.33 daripada firma guaman, 2 termasuk pegawai bank direman

Seorang pegawai dan bekas pegawai sebuah bank direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah RM316,064.33 daripada beberapa firma guaman di sekitar Melaka.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 43 dan 35 tahun terbabit disyaki melakukan perbuatan itu ketika membantu memberikan rujukan kes untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada bank.

“Siasatan awal SPRM mendapati suspek berusia 43 tahun masih bertugas di ibu pejabat bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor manakala seorang lagi suspek adalah bekas pegawai di cawangan bank sama di Melaka.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan itu antara 2018 hingga 2022,” katanya.

Sumber berkata mereka ditahan kira-kira 6 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka.

Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*